Social Icons

Pages

Selasa, 18 Februari 2014

Lelaki Didenda Cederakan Bekas Setiausaha DAP


JOHOR BAHRU – Seorang lelaki didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mendatangkan kecederaan ke atas bekas Setiausaha Publisiti Kecil DAP Taman Nesa, K Murugan, Mac lalu.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias turut mengarahkan tertuduh, P Bala, 56, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Bala bersama-sama dua individu lain yang masih bebas didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Murugan, 42, di Jalan Inang 2, Taman Skudai Baru, di sini kira-kira pukul 9.20 malam, 31 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil manakala Bala diwakili peguam, M Manogaran.

Bala kemudian membayar denda itu. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar